fb fb fb fb fb

Pembantu kedai cabul wanita Sepanyol, miliki video lucah didenda RM7,000

Foto Hiasan

IPOH, 30 Januari- Seorang pembantu kedai runcit didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul pelancong warga Sepanyol dan memiliki video lucah, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiman Danial Mohd. Najib, 22, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan warganegara Sepanyol, Elsa Parellda Genova di
di Lorong Seni atau Lorong Panglima Ipoh berdekatan Masjid Sultan Idris Shah Kedua di dalam daerah Kinta pada pukul 7 petang, 24 Januari 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Tertuduh juga berdepan hukuman di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki video lucah di dalam telefon bimbit ketika ditahan di tepi jalan di Jalan C. M. Yusoff, Ipoh pada pukul 6 petang, 25 Januari 2024.

Jika sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI