fb fb fb fb fb

Pemandu kereta mewah langgar lari didenda RM5,500

Christopher Lim Ka Hen diiringi anggota polis trafik di Mahkamah Majistret di sini hari ini

JOHOR BAHRU, 24 Januari - Seorang pekerja khidmat pelanggan didenda RM5,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan tanpa pertimbangan munasabah orang lain. 

Christopher Lim Ka Hen yang memandu kereta mewah itu diburu polis kerana menghilangkan diri selepas melanggar sebuah kenderaan sehingga mengakibatkan pemandunya patah tangan.

Ka Hen, 27 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid. 

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu telah memandu kenderaan tersebut tanpa pertimbangan yang munasabah orang lain yang menggunakan jalan itu. 

Kesalahan itu dilakukan di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Sungai Danga - Jalan Nusa Bestari di sini kira-kira pukul 3.10 pagi pada 17 Januari lalu. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu diendorse oleh mahkamah. 

Kes dijalalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

GRACE AISYAH KEDAYAN