JOHOR BAHRU, 30 Julai – Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM2,000 kepada seorang anggota polis di Segamat, Johor, pada November tahun lalu.
Tertuduh, R. Jeevananthan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan wang suapan tersebut kepada Penyelia Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal, Sarjan Rozhazizat Idris, di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya yang disyaki memiliki dadah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 September depan.