fb fb fb fb fb

Pelajar tumbuk guru direman dua hari

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pelajar menumbuk gurunya gara-gara berang ditegur ponten kelas

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas dipercayai menumbuk dan mengugut seorang guru di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan daripada guru lelaki berusia 29 tahun itu pada 28 Julai lalu, pukul 7.15 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang ponteng kelas Pendidikan Jasmani sebelum ditegur pengadu. Suspek kemudian tidak berpuas hati, bertindak bergelut dengan guru terbabit serta menumbuk wajahnya di hadapan beberapa guru dan pelajar lain,” katanya dalam kenyataan.

Suspek ditahan dan direman selama dua hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Jika sabit kesalahan bawah Seksyen 323, suspek boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 506 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

ACP Naazron berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

Beliau menasihatkan pelajar sekolah supaya mematuhi peraturan dan menjauhi sebarang tindakan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE