fb fb fb fb fb

Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan

Yap Kok Ming, 54, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga majikannya minggu lalu.

IPOH, 11 Januari- Seorang pekerja kedai aksesori telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga majikannya minggu lalu.

Tertuduh, Yap Kok Ming, 54, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lee Siew Lean, 49, di sebuah kedai menjual aksesori telefon bimbit di Laluan Rasi Jaya 8, Taman Rasi Jaya di Menglembu pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, 4 Januari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3023 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI