fb fb fb fb fb

Bunuh teman wanita: Warga Indonesia terlepas tali gantung, diganti hukuman penjara 35 tahun

PUTRAJAYA, 11 Januari - Seorang lelaki warga Indonesia yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya sebelum menyembunyikan mayat reput mangsa dalam beg pakaian, terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan penjara 35 tahun.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas mengetepikan hukuman yang dijatuhkan ke atas Ermiadi, 32.

Bagaimanapun, Tengku Maimun menolak rayuan Ermiadi terhadap sabitan selepas memutuskan bahawa ia adalah selamat.

Beliau mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 17 Okt 2017 dan disebat sebanyak 12 kali.

Ermiadi dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2019 selepas didapati bersalah membunuh Romsari Sitanggang, 20-an, juga warga Indonesia, di sebuah rumah kedai di Jalan Maxwell, Pekan Rawang, Selangor antara 6.46 pagi hingga 8 pagi 12 Okt 2017.

Rayuan Ermiadi ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 19 Julai 2022.

Menurut fakta kes, Ermiadi membawa mangsa ke premis yang didiaminya dan pasangan itu menghabiskan masa bersama sebelum makan malam dengan rakan sekerja tertuduh.

Selepas itu, rakan sekerja tertuduh meninggalkan pasangan kekasih tersebut.

Dua hari kemudian, seorang penyelia restoran yang menyewa sebuah bilik di premis sama yang merupakan kedai judi dalam talian mengadu mengenai bau busuk di premis itu dan telah bersemuka dengan Ermiadi yang mendakwa ia berpunca daripada tikus yang mati di biliknya.

Penyelia restoran itu kemudian membuka pintu bilik Ermiadi dan melihat terdapat kesan darah di atas lantai dan sesuatu yang ditutup dengan selimut sebelum membuat laporan polis.

Polis yang bergegas ke lokasi itu menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan reput di dalam sebuah beg pakaian di bilik Ermiadi dan kamera litar tertutup di premis itu menunjukkan seorang lelaki telah menjerut leher seorang wanita sehingga tidak sedarkan diri sebelum dibawa masuk ke dalam bilik. Ermiadi ditahan beberapa hari selepas itu.

Tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan. -- BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN