fb fb fb fb fb

Peguam didakwa cederakan wanita kerana berebut parkir

Foto Hiasan

IPOH, 8 Oktober- Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang wanita gara-gara berebut parkir.

Tertuduh, Goh Suan Poi, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ashvinder Kaur, 35, di kawasan parkir sebuah pasar raya di Ulu Kinta, di sini, pada jam 6.46 petang, 18 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Monisha Pandey mengendalikan pendakwaan manakala Goh diwakili peguam Khairil Azwar Khalil.

Terdahulu, Monisha menawarkan jaminan RM1,000 terhadap tertuduh namun peguamnya memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan Goh memberi kerjasama baik kepada polis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.

ZEHRA BINTI ZAMBRI