fb fb fb fb fb

Pegawai kanan polis ditahan kes kemalangan maut pelajar 17 tahun

PDRM

IPOH, 16 Disember- Seorang pegawai kanan polis ditahan susulan kejadian kemalangan maut yang mengorbankan seorang pelajar di Jalan Taman Jati, sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan sebuah kereta dipandu suspek, 44 dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa, 17 pada pukul 12.40 tengah hari.

"Mangsa (lelaki) meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suspek (lelaki) tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan.

Hasil bedah siasat ke atas mayat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan berkenaan.

Yahaya berkata, suspek yang merupakan pegawai kanan polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah itu ditahan pada hari sama dan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksten 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh," katanya lagi.

Sehubungan itu, orang awam yang mengetahui atau melihat kejadian tersebut diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan atau menimbulkan sebarang kegusaran awam.

SITI AISHAH BINTI MD ISA