fb fb fb fb fb

Ops Mahir: 47 warga asing ditahan, gagal tunjuk pas kerja sah

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

KLUANG, 15 Disember- Seramai 47 orang warga asing ditahan dalam Ops Mahir semalam kerana gagal menunjukkan pas kerja sah selepas diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan perkilangan di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharudin Tahir berkata, seramai 135 pekerja termasuk warga tempatan telah diperiksa namun 47 daripadanya tidak mempunyai pas atau permit kerja yang sah.

Jelasnya, pecahan jumlah pekerja asing yang ditahan adalah 23 orang daripada India, 21 orang Bangladesh, dua orang dari Sri Lanka dan seorang Pakistan dengan kesemuanya lelaki berusia antara 22 hingga 56 tahun.

“Serbuan dilakukan berikutan daripada aduan orang awam yang menyatakan premis berkenaan disyaki menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja sah.

“Operasi ini juga menyasarkan warga asing yang menggunakan slip Rekablitasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 untuk bekerja di negara ini secara tidak sah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) iatu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresn 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Baharudin berkata, pihaknya menyeru kepada semua majikan agar menggunakan peluang mendaftarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memenuhi syarat dalam RTK 2.0 ini.

“Tarikh tamat pendaftaran adalah pada 31 Disember ini dan tindakan tegas akan dikenakan kepada yang didapati menggajikan pekerja tanpa memiliki dokumen sah selepas gagal menggunakan kesempatan menyertai program RTK 2.0 ini,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI