fb fb fb fb fb

Pegawai Imigresen, tiga lelaki mengaku tidak bersalah seludup enam wanita Vietnam

Kesemua tertutuh menjalankan penyeludupan enam wanita warga Vietnam pada 9 Mac lalu

TAIPING, 3 Julai - Empat lelaki termasuk seorang Pegawai Kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menjalankan kegiatan penyeludupan migran, Mac lalu.

Tertuduh Abdul Hadi Mat Din, 42 tahun; Chua Eng Keong, 47 tahun; Sukree Awang, 48 tahun dan Teoh Boon Poh, 58 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama menjalankan penyeludupan enam wanita warga Vietnam di tempat letak kereta berbayar, Kompleks Imigresen (ICQS) Bukit Berapit, dalam daerah Pengkalan Hulu.

Keempat-empat mereka melakukan kesalahan itu pada pukul 11.26 pagi, 9 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2006 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Hakim Noor Ruwena menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, Sukree Awang, Teoh Boon Poh dan Abdul Hadi telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar namun tiada pengakuan direkodkan sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN