KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan melebihi RM24 juta dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada 5 dan 7 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata operasi pertama melibatkan lima serbuan di ibu negara dan Muar, Johor.
Dalam operasi tersebut, polis menahan tujuh individu yang terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand, termasuk ketua sindiket berkenaan.
Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai anggaran RM5 juta. dan kesemua suspek telah direman antara tiga hingga tujuh hari bermula 6 Oktober.
"Dalam serbuan kedua, polis berjaya menahan tiga individu warga Thailand di sebuah rumah di Kepong dan merampas 250 bungkusan dadah jenis shabu dengan berat anggaran 256 kilogram bernilai RM8.2 juta.
"Lebih kurang 125 tong, setiap tong ada dua bungkusan, jadi anggaran keseluruhannya adalah 250 bungkusan dengan berat anggaran 256 kilogram. Nilai dadah dianggarkan bernilai RM8.2 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini.
Dalam satu lagi serbuan, Kok Chin berkata pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan di Taman Perindustrian KIP Kepong dan merampas 350 bungkusan methamphetamine dengan berat anggaran 358 kilogram, bernilai RM11.4 juta.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.