PUTRAJAYA, 9 Oktober – Mahkamah Rayuan menetapkan 18 November depan untuk keputusan rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan Felcra Berhad.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu, selepas meneliti hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan daripada peguam Datuk Seri K.Kumaraendran dan M. Athimulan masing-masing mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette, serta Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Maziah Mohaide selaku perayu.
"Hujahan bertulis pendakwaan sudah mencukupi untuk panel hakim membuat keputusan. Jika rayuan pendakwaan dibenarkan, Bung Moktar dan Zizie Izette perlu membela diri atas pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 berkaitan kelulusan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual," kata Hakim Ahmad Zaidi yang turut bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.
Zizie Izette turut berdepan tiga pertuduhan kerana bersubahat dengan suaminya dalam kes itu.
Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah memerintahkan pasangan tersebut membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.