fb fb fb fb fb

PDRM siasat ahli politik dikaitkan sindiket pemerdagangan di Myanmar

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain / Foto RTM

KOTA BHARU, 29 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan seorang ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pasangan suami isteri tersebut telah diambil keterangan bulan lalu selepas artikel pertama mengenai kes itu dilaporkan.

Beliau berkata, siasatan polis kini dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

"Kami juga sedang berusaha mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh pihak Myanmar dan mencari saksi-saksi yang berkaitan dengan siasatan ini," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dengan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby di Kota Bharu, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ahli politik tempatan yang didakwa terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN