KUALA LUMPUR, 2 November- Instagram, pemesejan segera, Tiktok dan permainan dalam talian adalah antara platform sosial media yang kerap dilayari oleh mangsa pengantunan kanak-kanak kerana ia lebih mudah dan sukar dikesan penjaga.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, SAC Siti Kamsiah Hassan, ada juga yang menggunakan aplikasi cari jodoh atau 'dating apps' untuk membentuk identiti samaran.
Tambah beliau, antara modus operandi yang biasa digunakan pemangsa siber adalah menjadikan mangsa kanak-kanak sebagai rakan terlebih dahulu, membina hubungan bagi meraih kepercayaan.
"Dalam mencegah jenayah ini dari terus berleluasa, kerjasama dalam agensi terlibat juga adalah penting sama ada dalam negara atau luar negara.
"Ini bermakna pihak PDRM dengan agensi lain seperti agensi perundangan dari luar negara wujud kumpulan teknikal bertujuan mempercepatkan perkongsian maklumat dalam usaha untuk menangani jenayah terhadap kanak-kanak khususnya di media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Pastikan Sahih di Wisma Berita malam tadi.
Jelasnya, PDRM juga melakukan kerjasama bersama penyedia platform media sosial, syarikat-syarikat telco supaya lebih mudah memperolehi keterangan data dengan cepat bagi membantu penyiasatan terhadap isu pengantunan kanak-kanak dalam negara.