RAUB, 17 Jun- Seorang paderi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub, atas 17 pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan di beberapa lokasi di sekitar Bentong, sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Kok Chaw Fatt, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan melakukan perbuatan terhadap kanak-kanak terbabit, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh seluruh badan dan kemaluan tanpa kerelaan mangsa yang berusia 17 tahun 2 bulan ketika itu di sebuah gereja di Bentong sekitar 2 petang, pada Disember 2019.
Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa pada Mei 2020 di sebuah rumah di Taman Anggerik Height.
Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa melakukan perbuatan yang sama termasuk memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa pada Jun 2020 di sebuah rumah di Taman Syahbandar Height.
Kedua-kedua kesalahan ini dilakukan sekitar pukul 4.30 petang.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan seterusnya, tertuduh telah didakwa melakukan perbuatan merogol terhadap mangsa berlanjutan sehingga 14 bulan dari Januari hingga Disember 2020, serta Januari hingga Febuari 2022 di sebuah rumah di Taman Syahbandar Height.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam, Lee Tee Kiat.
Anisah kemudian meminta mahkamah mengenakan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan sebagai wang jaminan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan, tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Tee Kiat memohon pihak mahkamah mengurangkan wang jaminan anak guamnya kerana amaun yang besar ini seolah-olah satu hukuman kepada tertuduh sebelum perbicaraan, dan tertuduh adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Ahmad Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM42,500 bagi 17 pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berdekatan, menyerahkan passport kepada pihak mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara bagi kes yang sama, seorang ibu kandung tergamak membenarkan anak gadisnya disentuh seluruh badan termasuk kemaluan oleh seorang paderi di salah sebuah gereja di Bentong, dua tahun lalu.
Wanita berusia 54 tahun itu dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub atas pertuduhan membenarkan anaknya dianiaya secara seksual pada usia kanak-kanak itu 17 tahun 2 bulan pada ketika itu.
Pertuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, namun semasa pertuduhan dibaca, tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dan meminta supaya dibaca berulang kali.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh yang merupakan ejen penjual air minuman kultur telah didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 31 (1) (b) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.
Mahkamah menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
(Kok Chaw Fat telah didakwa melakukan perbuatan merogol terhadap mangsa berlanjutan sehingga
14 bulan dari Januari hingga Disember 2020, serta Januari hingga Febuari 2022)