SEPANG, 23 Ogos - Seorang lelaki warga Itali dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencuri ubat-ubatan dari sebuah premis kesihatan dan kecantikan pada Isnin lalu.
Maurizio Losi, 58, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Losi didakwa mencuri sekotak ubat Fluimucila dan Gaviscon bernilai RM80 di sebuah premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (T2) kira-kira pukul 5.20 petang, pada 19 Ogos.
Kes itu didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun tidak memahami akta berkenaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli, manakala kes dikendalikan pegawai penyiasat Inspektor Muhd Fadzil Zulkifli.
Sementara itu, tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebutan semula kes dijadualkan pada 4 September ini.