BAYAN LEPAS, 26 November- Polis menyita sebanyak 50 buah motosikal yang gagal mematuhi spesifikasi dan piawaian keselamatan jalan raya menerusi Ops Tutup di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi tadi.
Operasi yang bermula pukul 2 hingga 5 pagi oleh polis bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Barat Daya dan Jabatan Pengangkutan Jalan itu turut mengeluarkan 144 saman.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, 49 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, sementara sebuah lagi disita mengikut Seksyen 108 akta sama.
Menurutnya, selain membendung kegiatan samseng jalanan, operasi juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada.
"Operasi akan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa, bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam,"katanya.