KOTA BHARU, 20 Februari - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 34 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia satu hingga 47 tahun dalam Ops Sapu di sekitar bandar Kota Bharu.
Operasi yang dijalankan bermula kelmarin hingga semalam itu, dijayakan dengan kekuatan seramai 16 pegawai pelbagai pangkat.
Pengarahnya, Mohd Faizal Shamsudin berkata, seramai 34 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 40 PATI.
PATI yang ditahan melibatkan 23 lelaki, empat perempuan , tujuh kanak-kanak yang terdiri daripada warganegara Indonesia, Kemboja, Myanmar, Bangladesh, India dan Thailand.
Pihaknya menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkenaan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
Menurut beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI.