fb fb fb fb fb

KPDN keluarkan 950 notis menerusi Ops Kesan 4.0

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh. - Foto Bernama

ALOR SETAR, 25 Julai - Sebanyak 950 notis telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 950 premis di seluruh negara sejak pelaksanaan Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kesemua notis berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), susulan semakan terhadap 3,965 jenis barangan atau Stock Keeping Unit (SKU).

“Ops Kesan ini merupakan tindakan proaktif untuk memastikan kehadiran KPDN di lapangan dapat memberi kesedaran kepada peniaga agar tidak mengambil kesempatan atas peluasan pelaksanaan SST,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan di Pasaraya Mydin, Taman Saga, Alor Setar.

Sehingga kini KPDN turut menerima 23 aduan yang sedang disiasat dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah.

Individu yang disabitkan kesalahan pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Ops Kesan 4.0 memberi tumpuan terhadap pematuhan harga barangan keperluan utama seperti minyak masak, gula, tepung, beras, telur dan ayam.

Operasi dilancarkan susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu. Ia bagi mengelakkan sebarang kenaikan harga yang tidak berasas serta memastikan kestabilan harga dan perlindungan hak pengguna terus terpelihara.

TUN JULIA MOHD TAHIR