fb fb fb fb fb

JKDM rampas 42,130 gram pil ecstasy di Bintulu

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya menunjukkan barang rampasan dalam dua operasi pada 4 Julai lalu/Foto RTM Iskandar Shah

BINTULU, 25 Julai - Jabatan Kastam Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis Ecstasy (MDMA) seberat 42,130 gram bernilai lebih RM7 juta dalam dua operasi berasingan di sini, 4 Julai lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, dua individu tempatan, masing-masing seorang lelaki, 49, dan seorang wanita, 47, ditahan bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi pertama, pemeriksaan di sebuah syarikat kurier menemukan bungkusan mencurigakan diikrarkan sebagai Organic Coconut dan dialamatkan ke lokasi tidak lengkap, dipercayai helah sindiket mengaburi pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut menemui 25,330 gram escstasy bernilai RM4.23 juta,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Bintulu, pagi tadi.

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah kedai runcit dan rumah di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, yang membawa kepada rampasan 16,800 gram pil Ecstasy bernilai RM2.8 juta.

Katanya, pihaknya turut menemui wang tunai berjumlah RM117,600 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sindiket dipercayai menggunakan pengikraran palsu bagi menyeludup dadah melalui udara dari Semenanjung.

GRACE AISYAH KEDAYAN