fb fb fb fb fb

Operasi Bersepadu: Rumah urut diserbu, warga asing ditahan

FOTO MBAS

ALOR SETAR, 2 September - Tiga warga asing ditahan serta 14 kompaun dikeluarkan dalam satu operasi bersepadu membabitkan beberapa premis urut di sekitar bandar raya Alor Setar, Kedah.
 
Operasi bersepadu tersebut melibatkan seramai 42 pegawai dan anggota yang terdiri daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Polis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEIK), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Pejabat Daerah Kota Setar.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, serbuan dilakukan ke atas 13 buah premis.
 
Hasil pemeriksaan, enam daripada premis terbabit didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.
 
Pihak MBAS telah mengeluarkan sebanyak 14 kompaun atas pelbagai kesalahan bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Pusat Penjagaan Kesihatan (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah) 2019 dan Undang-Undang Kecil Iklan (Majlis Bandaraya Alor Setar) 2010.
 
"Selain itu, seorang lelaki warga Bangladesh dan dua wanita warga Thailand yang masing-masing merupakan pelanggan dan pekerja premis turut ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut kerana telah disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya dalam satu kenyataan.
 
Tegas Datuk Abdul Gafar, MBAS sentiasa komited dalam bekerjasama antara agensi penguatkuasaan bagi memantau segala aktiviti perniagaan.
 
Ia khususnya melibatkan premis urut serta dapat mengekang kegiatan yang tidak bermoral dalam kalangan masyarakat dan penduduk sekitar amnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE