fb fb fb fb fb

Op Tiris: Minyak diesel bernilai lebih RM82,000 dirampas

Serbuan turut merampas sebuah lori tangki berkapasiti 40,000 liter, dua unit pam bermeter berserta hos dan sebuah kapal jenis tanker

PORT DICKSON, 14 November - Sebanyak 38,200 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM82,130 dirampas dalam serbuan Op Tiris pada Sabtu di sebuah jeti persendirian di Pasir Panjang, di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata serbuan turut merampas sebuah lori tangki berkapasiti 40,000 liter, dua unit pam bermeter berserta hos dan sebuah kapal jenis tanker.

Katanya nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM700,000.

"Operasi turut menahan tiga lelaki warga tempatan dan lima lelaki warga asing. Penahanan kesemua suspek dibuat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya menerusi kenyataan.

Muhammad Zahir berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat serta rantaian pengedaran dan sumber minyak diesel tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN