IPOH, 23 Jun-Seorang wanita yang mengandung dua bulan antara yang diperiksa dalam Op bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh (Klebang) awal pagi tadi.
Wanita berusia 26 tahun bersama 198 penunggang dan pembonceng termasuk ‘mat rempit’ itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kampung Tawas untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Perak,Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Sabri berkata sebanyak 267 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, aksesori tidak sempurna dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
Pihaknya turut menyita 39 buah motorsikal.
Selain itu, empat individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.
Operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu membabitkan 62 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Operasi selama empat jam tersebut turut melibatkan agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Dalam operasi tersebut juga JPJ mengeluarkan 104 saman dan notis larangan penggunaan kenderaan.
Manakala saringan AADK ke atas 32 individu mengesan seorang positif THC.