KUALA LUMPUR, 5 Julai - Polis merampas pelbagai peralatan dan produk logam yang tidak mematuhi standard piawaian bernilai lebih RM96 juta dalam serbuan di enam buah kilang di Johor, Selangor dan Melaka semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata serbuan Op Padu 2.0 itu melibatkan kilang mengimport, memproses dan membekalkan produk logam untuk sektor pembinaan serta pelbagai industri tempatan.
Beliau berkata barangan yang disita termasuk 11,000 batang tetulang keluli rebar pelbagai saiz, 152,830 batang besi hollow section, 4,393 flat bar pelbagai saiz, 1,500 batang wire rod pelbagai saiz, mesin pemotong logam, tiga jentera pengangkut (forklif) dan 152 tong gas yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM96.35 juta.
“Pemeriksaan menemukan pelbagai kesalahan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen Perakuan Pematuhan Standard (PPS) yang sah bagi produk besi dan logam yang diimport untuk kegunaan sektor pembinaan.
“Turut ditemukan sejumlah produk logam yang dikategorikan sebagai produk siap tanpa PPS yang sah oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan digunakan di dalam sektor pembinaan dalam negara, selain produk separuh siap yang dipercayai diimport secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata kilang berkenaan juga menggajikan pekerja warga asing tidak sah dengan operasi turut menahan dan memeriksa 60 pekerja premis terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan 57 warga asing berusia 26 hingga 59 tahun atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang dan peraturan antaranya Seksyen 33D(1) Akta CIDB 1994, Peraturan-Peraturan Industri Pembinaan Malaysia, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, siasatan turut melibatkan Seksyen 31(1)(g) dan Seksyen 37(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 47(1)(d), Seksyen 47(2)(b) dan Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Seksyen 79 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Azmi berkata Op Padu 2.0 dilaksanakan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, CIDB, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM12,000.
Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, WCB/PSK telah melaksanakan 161 serbuan di seluruh negara dan menahan 296 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar dan penjualan senjata tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM540.2 juta.
“PDRM menyambut baik kerjasama yang dijalankan bersama agensi penguat kuasa yang lain dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat, keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam terpelihara. Penglibatan dan kerjasama orang awam dalam memberikan maklumat kepada polis juga amat digalakkan agar jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. - BERNAMA