fb fb fb fb fb

Op Khas Kenderaan Perdagangan: 2,743 kenderaan disaman libatkan pelbagai kesalahan

Facebook JPJ Kedah

ALOR SETAR, 30 Oktober- Kira-kira 6,824 notis saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kedah terhadap 2 ribu 743 kenderaan atas pelbagai kesalahan.
 
Lima buah kenderaan perdagangan turut disita kerana gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.
 
Ia hasil Operasi Khas Kenderaan Perdagangan (Kenderaan Barangan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam) 2024 bermula 1 Oktober lalu dan berakhir pada Khamis.
 
Operasi selama sebulan itu melibatkan pegawai dan anggota pelbagai agensi iaitu seramai 35 orang terdiri daripada Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah; Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, JSJN PDRM; Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
 
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, operasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan parah dan kematian selain mengurangkan kesesakan terutama di lebuh raya.
 
Selain itu, ia membudayakan kesedaran kepada pematuhan undang–undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan jalan raya di kalangan pemilik atau pemandu kenderaan dan meningkatkan persepsi orang awam (POBC) untuk ditangkap melalui penguatkuasaan yang dijalankan.
 
Operasi ini memfokuskan pelanggaran undang–undang berkaitan kesalahan teknikal, kesalahan lalu lintas dan kesalahan utama.
 
Dalam operasi itu, sebanyak 48,250 kenderaan telah diperiksa.

"Daripada itu. lima kenderaan perdagangan yang telah kita sita atas pelbagai kesalahan, sebagai contoh ketiadaan CDL, tiada GDL, LKM tamat tempoh, insuran tamat tempoh dan juga kenderaan kita dapati bawa muatan melebihi daripada panjang kenderaan itu.

"Kita memandang serius perkara ini dan kita menyeru kepada semua pemilik kenderaan agar memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik sebelum memulakan pemanduan", katanya yang ditemui pemberita selepas menyertai Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Hutan Kampung di sini pada Selasa.
 
Sepanjang operasi itu, tiga individu berusia lingkungan 20-an hingga 40-an turut ditahan oleh AADK kerana positif dadah jenis Methaphetamine.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD