fb fb fb fb fb

Tiga lelaki warga China diberkas kes seluk saku di KLIA

Gambar hiasan

SEPANG, 29 Oktober - Polis menahan tiga lelaki warga China di ruang legar ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas disyaki curi dompet seorang pelancong pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, tangkapan dibuat selepas menerima laporan pada 22 Oktober setelah pelancong daripada Jepun menyedari kehilangan dompetnya sewaktu berada di restoran di Petaling Jaya.

"Semasa mangsa hendak membuat pembayaran di sebuah restoran di Petaling Jaya, (pengadu) menyedari dompet miliknya telah tiada dalam simpanan di dalam beg galasnya.

"Pengadu mengesyaki begnya telah diseluk dan dompetnya dicuri semasa berada di Terminal 1 KLIA kerana zip beg galas telah terbuka.

"Mangsa turut menerima pemberitahuan melalui telefon bimbit mengenai tiga transaksi yang tidak diketahui dan mengalami kerugian sebanyak RM7,622," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Ketiga-tiga suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN