fb fb fb fb fb

Najib diperintah bela diri atas 25 pertuduhan berkaitan dana 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan perbicaraan 1MDB/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membela diri atas 25 pertuduhan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Menteri Kewangan itu bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Sewaktu membaca alasan penghakiman, 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib, adalah sah.

“Mahkamah ini mendapati bahawa pertuduhan terhadap tertuduh adalah sah dan betul dari segi undang-undang. Unsur bahawa tertuduh adalah pegawai badan awam telah dibuktikan bagi keempat-empat pertuduhan mengenai penggunaan kedudukan pegawai untuk mendapatkan faedah bagi dirinya sendiri,” kata hakim.

Mengikut pertuduhan, Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dairpada Aktiviti Haram 2001 .

Hakim Sequerah menyimpulkan bahawa keterangan saksi pihak pendakwaan membuktikan adanya hubungan erat antara tertuduh dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), berkaitan dengan urusan 1MDB.

Menurut Sequerah, saksi seperti bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam dana tersebut iaitu Jasmine Loo, dan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, menunjukkan mereka berinteraksi dengan Low.

Dalam kes 1MDB, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib yang juga bekas ahli parlimen Pekan kini menjalani hukuman penjara 6 tahun dan denda RM50 juta setelah disabitkan bersalah dalam kes SRC International.

Beliau dihukum atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebanyak RM42 juta daripada SRC.

 

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN