fb fb fb fb fb

Op Gasak 2025: Sindiket penyelewengan LPG tumpas

Foto BERNAMA

MELAKA, 29 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) yang dianggar bernilai RM40,000 semalam.

Pengarahnya, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, dalam serbuan ’Op Gasak 2025’ kira-kira pukul 7.00 malam itu, pihaknya menahan tiga lelaki warga Myanmar yang berusia 23 hingga 24 tahun untuk membantu siasatan. 

Hasil periksaan awal, premis yang telah beroperasi selama sebulan itu gagal mengemukakan lesen atau kebenaran bertulis daripada Pegawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan gas LPG

"Hasil siasatan awal mendapati pihak tidak bertanggungjawab telah menyeleweng gas bersubsidi 14 kilogram dengan memindahkan kandungannya ke dalam tong industri 50 kilogram. Gas 14 kilogram itu dibeli pada harga sekitar RM30 setiap tong dan empat tong digunakan untuk mengisi satu tong industri 50 kilogram, menjadikan kos sekitar RM100.

Tong gas industri itu kemudian dijual semula pada harga sekitar RM400, sekali gus memberi keuntungan berlipat ganda secara tidak sah kepada sindiket terlibat.Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122)," katanya pada sidang media rampasan berkenaan, di Malim Jaya.

Jelas Dr Mohd Hazimin, hasil risikan pegawai KPDN selama tiga minggu itu juga mendapati, sindiket tersebut menjalankan operası selepas pukul 7.00 malam sehingga awal pagi bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa dan dipercayai untuk kegunaan pihak industri di Melaka.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN