fb fb fb fb fb

Cubaan 4 warga Afghanistan masuk Malaysia guna visa palsu gagal

Empat warga Afghanistan yang dikesan cuba memasuki Malaysia menggunakan visa palsu - Foto AKPS

SEPANG, 29 Julai - Cubaan empat warga Afghanistan, dipercayai sekeluarga memasuki Malaysia menggunakan visa palsu digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu operasi pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

AKPS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua individu terbabit, terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa, dikesan berlegar-legar di kawasan terminal KLIA dalam keadaan mencurigakan.

Susulan itu, pasukan Unit Pemantau Terminal 1 bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas mereka dan siasatan awal mendapati keempat-empatnya tiba di Malaysia pada 24 Julai 2025, jam 9.20 malam, menerusi penerbangan dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.

"Hasil soal siasat mendedahkan kesemua individu terbabit adalah penumpang 'basi', iaitu penumpang yang gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Difahamkan mereka telah berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui sebarang proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya," menurut kenyataan itu.

Hasil semakan dokumen perjalanan mereka, mendapati kesemua visa yang digunakan adalah palsu.

"Siasatan lanjut, kesemua mereka mengaku tidak pernah ke Uzbekistan sebagai transit, namun sebaliknya visa berkenaan diperoleh melalui seorang agen dengan bayaran sebanyak AS$6,000 (RM25,386).

Pihak AKPS telah mengambil tindakan tegas dengan menolak kemasukan (NTL - Not To Land) terhadap semua individu terbabit dan mereka akan dihantar pulang ke negara asal pada 30 Julai 2025 dengan syarikat penerbangan yang sama.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK