KUALA LUMPUR, 29 Julai – Seramai 171 warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Jalan Masjid India, di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman, kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Beliau berkata, secara keseluruhan pemeriksaan dijalankan terhadap 758 individu dan 14 premis perniagaan yang disyaki menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.
Pemeriksaan mendapati warga asing berkenaan menyalahguna pas lawatan sosial dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah
Menurutnya, ketika operasi dijalankan terdapat warga asing yang cuba mengelak pemeriksaan termasuk menyamar sebagai pelanggan dan bersembunyi serta cuba melarikan diri.
“Ada antara mereka yang bertindak agresif dan provokatif bagi mengalihkan perhatian anggota, malah keadaan hujan lebat turut menyulitkan pergerakan, namun operasi tetap berjalan lancar,” katanya yang turut menyertai operasi.
JIM akan meneruskan operasi secara berkala
Beliau turut menyeru pendatang tanpa izin agar mengambil peluang menyertai Program Pulang Rahmah Migran (PRM) yang masih berlangsung untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
"JIM sedang mengadakan program PRM kepada warga asing yang tidak mempunyai pas sah dan mereka ini boleh menggunakan peluang ini untuk keluar daripada Malaysia," katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan JIM akan terus menjalankan operasi dan pemeriksaan secara berkala, khususnya di kawasan tumpuan warga asing.