JOHOR BAHRU, 29 Julai - Polis menahan seorang lelaki dipercayai mencederakan seorang kanak–kanak perempuan menggunakan tukul besi di Flat Ungku Tun Aminah, di sini 26 Julai (Sabtu) lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, polis mengesan rakaman video yang dimuat naik di sebuah laman sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan, 12 tahun mengalami pendarahan di kepala.
Serangan menyebabkan mangsa mengalami koyakan kulit di bahagian kepala dan bengkak di tangan kanan.
Ketika ini, mangsa dirawat di Hospital Sultanah Aminah, dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Semakan mendapati suspek, 39 tahun memiliki pelbagai rekod lampau termasuk dadah, selain positif metamphetamine.
Suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.