KULAI, 29 Julai – Empat individu ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sekitar daerah Kulai dan Senai, semalam.
MPKu dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Op Noda itu diadakan bertujuan membanteras kegiatan tidak bermoral serta perniagaan yang melanggar undang-undang.
Empat individu ditahan dalam Op Noda yang dijalankan MPKu dan JAINJ - Foto MPKu
Menurutnya, sebanyak lima premis telah diperiksa dalam operasi berkenaan.
"Hasilnya, empat individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
"Selain itu, dua premis perniagaan telah diarahkan ditutup serta-merta kerana didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKu 2019," menurut kenyataan itu.
Dua premis turut diarah tutup kerana beroperasi tanpa lesen yang sah - Foto MPKu
Tindakan tegas itu merupakan langkah berterusan pihak berkuasa dalam memastikan kesejahteraan masyarakat serta pematuhan kepada perundangan syariah dan peraturan pihak berkuasa tempatan.
“Kerjasama antara agensi penguat kuasa ini akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.