SEMENYIH, 26 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sebuah makmal dadah yang memproses dadah terlarang jenis MDMA, kokain dan ketamin dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.04 bilion, hasil beberapa siri serbuan menerusi Op Gaharu Fasa Dua di sekitar Lembah Klang, bulan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata operasi itu susulan kepada Op Gaharu Fasa Pertama yang membawa kepada penahanan enam suspek, sebelum polis mengesan beberapa lagi makmal serta lokasi penyimpanan dadah.
"Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1.04 bilion, dan kuantiti tersebut berisiko memudaratkan seramai 20.7 juta orang sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Hussein mendedahkan, pada 16 Disember lalu, JSJN Bukit Aman melaksanakan tindakan susulan yang membawa kepada pembongkaran sebuah operasi makmal dadah haram, sebelum beberapa lagi serbuan dijalankan pada 21 Disember di sekitar Lembah Klang.
"Serbuan pertama dijalankan di kawasan Taman Tasik Seri Kembangan, Kajang, dan berjaya merampas cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat hampir 6,000 kilogram, selain serbuk putih disyaki MDMA seberat kira-kira 208 kilogram," tambahnya.
Menurut beliau, serbuan seterusnya di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur, membawa kepada rampasan dadah jenis kokain seberat 20.2 kilogram serta ketamin seberat 1.2 kilogram, selain pelbagai peralatan memproses dadah.
Secara keseluruhan, rampasan bagi Op Gaharu Fasa Pertama dan Kedua melibatkan dadah jenis MDMA seberat 6,194 kilogram, kokain 4,061 kilogram dan ketamin 14,495 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan 24.7 tan.
"Jika dilihat kepada peralatan dan instrumen yang digunakan, sindiket ini mempunyai keupayaan memproses dadah dalam skala yang sangat besar. Ini merupakan antara sindiket dadah terbesar pernah dibongkar dalam sejarah negara," ulasnya.
Beliau memaklumkan, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak Januari 2025, dipercayai didalangi warga asing, manakala rakyat tempatan berperanan sebagai koordinator bagi memudahkan kemasukan peralatan serta pengedaran dadah yang telah diproses ke pasaran tempatan dan luar negara.
Sindiket sama katanya turut menggunakan 14 premis merangkumi makmal haram, tempat penyimpanan dadah, lokasi pengurusan operasi serta kediaman ahli sindiket, dengan sebahagiannya dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Salah sebuah premis yang diserbu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan secara dalam talian, dan siasatan lanjut sedang dijalankan," dedah beliau.
Beliau turut memberitahu, kekuatan sindiket berkenaan dianggarkan melibatkan 10 hingga 12 orang, dan pihak polis kini masih memburu beberapa ahli sindiket yang dipercayai masih bebas.
Hussein turut memaklumkan pihaknya menjalinkan kerjasama risikan dengan Interpol dan negara-negara berkaitan bagi menjejaki rangkaian sindiket berkenaan yang masih aktif.
Kesemua suspek kini direman selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Disember 2025, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali," tegas beliau lagi.
Jelas beliau kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam, sambil menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.