PELABUHAN KLANG, 13 September- Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) berjaya merampas bahan batuan yang dikendalikan secara haram.
Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah berkata operasi pada 11 hingga 13 September itu menyasarkan aktiviti perlombongan pasir tidak sah yang semakin berleluasa di beberapa kawasan di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang Kuala Langat dan Sepang.
Jelas beliau, operasi melibatkan kerjasama dari Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dan unit penguatkuasaan Pejabat Daerah Tanah (PTD) membuahkan hasil apabila lapan buah lori ditahan.
Kesemua lori yang ditahan didapati membawa bahan batuan tanpa dokumen sah, melanggar Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (KTN) dan Enakmen Mineral Selangor 2000 membabitkan nilai rampasan kira-kira RM1 juta.
"Untuk operasi ini kita tangkap lori bersama dengan pemandu. Jadi pemandu kita ambil keterangan dan kita akan bawa lori itu ke stor simpanan rampasan di PTG Seksyen 7. Di sana kita akan menjalankan siasatan dan akan buat interview dengan pemandu-pemandu lori untuk kia ambil keterangan dari segi operasi, syarikat siapa dia bekerja, selepas itu kita akan panggil syarikat, pemilik syarikat untuk siasatan", katanya kepada media selepas Majlis Penutup Operasi Bersepadu Khazanah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah serta pasukan Polis Marin di Jeti Markas Operasi Polis Marin di Pelabuhan Klang.
Pihak PTGS turut menegaskan akan terus memantau dan membanteras kegiatan perlombongan pasir haram yang berpotensi merosakkan alam sekitar dan ekonomi negeri ini.