fb fb fb fb fb

1MDB hanya bayar US$2.2 bilion kepada AABAR - Penyiasat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 September - Seorang penyiasat penipuan kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa siasatan beliau mendedahkan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya membayar US$2.2 bilion kepada Aabar Investments PJS Ltd.

Bagaimanapun, Richard Templeman yang berpangkalan di United Kingdom berkata beliau tidak membangkitkan isu bahawa terdapat percanggahan dalam tuntutan 1MDB sebanyak US$1 bilion kepada plaintif sebelum perbicaraan kes saman itu bermula atau memaklumkannya dalam pernyataan saksi.

Templeman berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama saman US$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Semasa perbicaraan kes jenayah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan pertuduhan menyeleweng dana 1MDB, Aabar Investments PJS Ltd didedahkan sebagai entiti palsu yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, di Seychelles.

Ketika disoal oleh peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan, mengenai kegagalannya untuk memaklumkan pekara itu kepada plaintif, Templeman berkata beliau memberi keterangan secara bebas dan tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa beliau telah gagal dalam tanggungjawabnya untuk memaklumkan mahkamah mengenai percanggahan itu.

Lavinia: Siasatan anda mendapati jumlah yang dibayar ialah US$2.2 bilion dan bukan US$3.5 bilion seperti yang dinyatakan dalam saman 1MDB?

Templeman: Saya boleh sahkan ia adalah US$2.2 bilion.

Lavinia: Anda telah diberikan pernyataan tuntutan. Ketika menelitinya, anda tahu jumlah yang dituntut adalah salah, adakah anda tidak memaklumkan perkara itu kepada peguam 1MDB?

Templeman: Saya tidak berbuat demikian.

Pada Mei 2021, 1MDB telah memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah serta konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments serta US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut ganti rugi sebanyak US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan berhubung pelanggaran itu serta tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan perjanjian pelanjutan pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 17 Sept ini. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN