fb fb fb fb fb

Nampak kereta peronda, pemandu panik lawan arus, rempuh kereta polis

PETALING JAYA, 8 Februari- Disyaki panik melihat kehadiran polis, seorang lelaki bertindak memandu melawan arus dan merempuh kenderaan pihak berkuasa.

Kejadian bermula apabila kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dikesan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah di Sri Damansara, dekat sini.

Sehubungan itu, polis kemudian cuba menahan kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kesalahan itu dikesan unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Sri Damansara, jam 2.30 pagi semalam.

Katanya, sebuah kenderaan dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

"Polis cuba menahan kereta itu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai 1, namun dua lelaki dalam kenderaan itu telah keluar dan melarikan diri.

"Seorang lagi lelaki yang memandu memecut laju dan melulu melawan arus sebelum melanggar kereta peronda polis sehingga menyebabkan kenderaan itu mengalami kerosakan," katanya dalam satu kenyataan.

(
(FOTO IPD PETALING JAYA)

Beliau berkata, pemandu itu juga bertindak melarikan diri sebelum polis menjumpai pelbagai peralatan, disyaki digunakan untuk kegiatan curi kenderaan.ketika melakukan pemeriksaan kenderaan yang ditinggalkan itu

Mohd Fakhrudin berkata, hasil semakan polis mendapati kenderaan digunakan suspek dilaporkan hilang di Ampang sebelum ini.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Damansara berjaya menahan seorang lelaki berusia 18 tahun di kawasan Blok C Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 3.45 pagi semalam.

Katanya, suspek direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 28(1) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987..

Media Baharu