fb fb fb fb fb

Najib nafi halang Husni Hanadzlah bawa pulang dana SRC yang dibekukan Switzerland

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan beliau menghalang bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada cuba membawa pulang dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM3.6 bilion yang dibekukan pihak berkuasa Switzerland.

Dana itu merupakan sebahagian daripada pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan beliau tidak pernah menghalang Datuk Seri Ahmad Husni daripada bertindak dalam mana-mana urusan membabitkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib tidak bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa alasan beliau tidak mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat dana itu adalah kerana beliau sudah mendapat manfaat dan menerima RM42 juta daripada wang SRC dalam akaunnya.

Bekas Menteri Kewangan itu menegaskan, beliau percaya apa yang diterima dalam akaunnya itu adalah wang derma.

Disoal lanjut, beliau tidak bertanyakan mengenai siasatan ke atas dana berkenaan kerana ia adalah kompleks dan menjangkakan pihak berkuasa memaklumkan sebarang perkembangan kepadanya.

Tambahnya, sebagai menteri kewangan, beliau ada bertanyakan pihak pengurusan mengenai pelaburan SRC bagi menjana pulangan untuk membayar pinjaman daripada KWAP.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE