IPOH, 10 Oktober - Tiga warga Bangladesh ditahan kerana disyaki membunuh rakan mereka, selepas mayat seorang lelaki warga negara itu ditemukan maut dalam semak di belakang sebuah rumah di Taman Lagenda Fasa 3, Teluk Intan.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian menimpa mangsa berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pekerja kontrak itu sekitar 5.00 pagi tadi.
"Mangsa ditemukan terlentang dalam semak di belakang rumah kongsi tersebut dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dada dengan kesan kecederaan pada leher dipercayai akibat penggunaan senjata yang tidak dikenal pasti.
“Berdasarkan keterangan, kehilangan mangsa disedari apabila rakannya mahu mengajak mangsa untuk bersolat sekitar 8.30 malam semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Suspek yang ditahan itu berusia 32 hingga 39 tahun yang mendiami rumah kongsi itu untuk siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.