KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISB Holdings (GISBH) di luar negara membabitkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu pengesahan harta tersebut dari negara terlibat sebelum tindakan pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613 dilakukan.
"Kita masih mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa negara-negara terlibat," katanya pada sidang media, di sini.
Mengenai aktiviti GISBH di luar negara dipercayai melibatkan 19 negara, beliau berkata, PDRM mendapat bantuan polis Antarabangsa (Interpol) dan agensi keselamatan negara di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Asia Barat itu.
"Kita belum dapat maklumat berkaitan keberadaan dan pergerakan ahli-ahli mereka di negara tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, tiga premis GISBH di sebuah negara sudah dihentikan operasi dengan papan tanda sudah diturunkan selain pintu dan tingkapnya ditutup dengan plastik hitam.