fb fb fb fb fb

Najib didapati bersalah guna kedudukan peroleh RM2.3 bilion

Datuk Seri Najib Tun Razak/ Foto arkib BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Disember - Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah hari ini atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu disampaikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika prosiding bersidang di Istana Kehakiman pada Jumaat.

Mahkamah memutuskan Datuk Seri Najib menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB pada ketika itu, serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Datuk Seri Najib 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Mahkamah memutuskan bekas perdana menteri itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus mensabitkannya atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kes berprofil tinggi itu berlarutan hampir tujuh tahun sejak Najib didakwa, ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Bekas menteri kewangan itu diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.

Bekas Perdana Menteri itu pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, sebelum pihak pendakwa menutup kesnya pada 30 Mei 2024.

Antara saksi utama bagi pihak pendakwaan ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, dan Pegawai Penyiasat SPRM Superintendan Kanan Nur Aida Ariffin.

Pada 30 Okt 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan memerintahkan Najib untuk mengemukakan pembelaan terhadap semua pertuduhan.

Kes pembelaan didengar dari 2 Dis 2024 hingga 6 Mei 2025 selama 58 hari, dengan 26 saksi dipanggil memberi keterangan.

Saksi utama bagi pihak pembelaan termasuk bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin,Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, adik kepada Sultan Terengganu, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pendengaran hujah lisan dalam perbicaraan 1MDB berjumlah RM2.3 bilion itu diselesaikan pada 4 Nov selepas kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menamatkan hujah terakhir masing-masing.

Beliau kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI