fb fb fb fb fb

Minuman keras bernilai lebih RM1 juta dirampas

Antara minuman keras pelbagai jenama yang dirampas JKDM

KLANG, 26 Disember- Lebih 55,000 liter minuman keras pelbagai jenama membabitkan nilai dan cukai berjumlah RM1.11 juta dirampas menerusi empat pemeriksaan dan serbuan pihak Kastam sejak Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Sazali Mohamad berkata, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Zon Tengah (Selangor) berjaya mematahkan penyeludupan melalui Pelabuhan Klang dengan penahanan lima buah kontena.

Menurutnya, modus operandi pihak sindiket ke atas semua kontena terbabit ialah dengan membuat ikrar palsu sebagai barangan lain bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Jadi ia menggunakan kotak yang berlabel jus nenas yang dibungkus semula barang-barang itu untuk berselindung dari jenama minuman keras yang sebenarnya.

"Ia melibatkan sindiket yang berlainan, tapi sumber dari mana, minuman keras itu di negara China, kita percaya ia adalah sumber yang sama", katanya kepada pemberita semasa sidang media Jabatan Kastam DiRaja Malaysia di Klang.

Tambahnya lagi, pihak Kastam juga telah membuat serbuan ke atas sebuah gudang di Klang dan merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenama di dalam premis tersebut dengan modus operandi yang sama.

Seorang wanita warga tempatan yang merupakan penjaga gudang tersebut juga ditahan untuk siasatan lanjut.

 

ROSLINA BINTI DIN