SUNGAI PETANI, 15 Mei- Tiga anggota penguat kuasa dari dua agensi kerajaan yang berbeza di Kedah ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM36,000 bagi melindungi kegiatan rumah urut di sekitar negeri itu.
Kesemua suspek lelaki berusia sekitar 30-an hingga 40-an itu ditahan semalam antara pukul 8.00 hingga 12.00 tengah malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sungai Petani.
Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 18 Mei terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Januari tahun lalu dan menerima bayaran secara bulanan yang mencecah sehingga kira-kira RM6,000 bagi melindungi pekerja rumah urut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
"Siasatan dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.