fb fb fb fb fb

Melarikan dua kanak-kanak, lelaki dituduh di mahkamah esok

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai melarikan dua kanak-kanak perempuan pada 19 Julai lalu akan dituduh pagi esok di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Sabak Bernam.

Peniaga pisang goreng itu akan didakwa dengan dua kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan kanak-kanak daripada jagaan sah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 369 Kanun Keseksaan/Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Selangor, semalam.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai warga tempatan melarikan kedua-dua mangsa menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna hitam.

"Bagaimanapun, lelaki tersebut berjaya ditahan polis awal pagi 21 Julai oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah di rumahnya di Jeram, kira-kira 2.40 pagi," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang lelaki memandu kereta sedan berwarna hitam disyaki melarikan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 8 dan 6 tahun pada 19 Julai lalu.

Mereka kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mangsa kira-kira pukul 7.45 malam, kira-kira sejam selepas dilaporkan hilang.

GRACE AISYAH KEDAYAN