fb fb fb fb fb

Mayat wanita ditemukan terapung dalam kolam

FOTO PDRM

KEPALA BATAS, 24 Oktober- Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan terapung di sebuah kolam di kawasan Pokok Machang, Tasek Gelugor, Kepala Batas, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie, menerusi satu kenyataan berkata mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam itu ditemukan seorang lelaki yang melalui kawasan tersebut pada pukul 6.50 petang sebelum menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian berkenaan.

"Lelaki yang menjumpai mayat itu memaklumkan dia ternampak satu objek seperti bangkai dalam keadaan tertiarap dan apabila mendekati dia terkejut apabila mendapati ia adalah badan manusia.

"Mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Winston Raip di talian 04- 576 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE