fb fb fb fb fb

Mayat pengawal keselamatan ditemukan dalam but kereta

Foto Hiasan

SHAH ALAM, 17 September- Seorang pengawal keselamatan disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemukan di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di Sabak Bernam, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Robin Guha Thakurta berkata mangsa, lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu ditemukan selepas menerima maklumat daripada anggota kereta peronda pada 6.04 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami cedera pada anggota badan.

"Pemeriksaan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan ada unsur jenayah menyebabkan kematian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Robin berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan suspek terlibat dan pemilik kenderaan tersebut.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-32242222 bagi tindakan lanjut.

ZEHRA BINTI ZAMBRI