fb fb fb fb fb

JKDM Melaka patahkan penyeludupan kereta mewah dari Singapura

Penyeludupan sebuah kereta mewah jenama Lotus dari Singapura bernilai RM531,960 berjaya dipatahkan JKDM Melaka.

AYER KEROH, 17 September- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menggagalkan penyeludupan sebuah kereta mewah jenama Lotus dari Singapura bernilai RM531,960.
 
Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata rampasan dilakukan pada 17 Julai lalu itu hasil risikan selama tiga bulan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor.
 
Menurutnya, kereta berkenaan dipercayai disembunyikan di lot tempat letak kereta supaya gagal dikesan oleh pihak berkuasa.
 
"Lebih kurang pukul 12 tengah hari, pihak kami berjaya mematahkan cubaan pengedaran sebuah kereta jenama Lotus berwarna putih di tempat letak kereta di dalam sebuah bangunan pusat beli belah di Petaling Jaya.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan suspek dibuat," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Melaka, di sini, hari ini.
 
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Nadzri memaklumkan pihaknya berjaya mematahkan tujuh kegiatan penyeludupan antara Julai hingga 3 September lalu.
 
Beliau berkata ia membabitkan rampasan bernilai RM1.2 juta melibatkan kereta mewah, minuman keras, tembakau, dadah dan timah ketika serbuan dilakukan di dalam dan luar Melaka.
 
Menurutnya, pada 17 Ogos lalu, JKDM Melaka berjaya mematahkan kegiatan menyeludup serbuk timah seberat lima kilogram (kg) bernilai RM450,000 dan ia adalah rampasan yang jarang diperoleh.
 
"Barang kes ini tidak diikrar kepada JKDM dan telah diseludup melalui perairan negara. Suspek, pemandu lori lingkungan usia 30-an dan 40-an ketika ditahan semasa serbuan telah gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen sebagai pembuktian barang tersebut telah diikrar kepada JKDM. Kedua-dua mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
 
Tambah Nadzri, barang kes berkenaan dipercayai telah dibawa dengan menggunakan sebuah bot sehingga ke perairan Mersing, Johor sebelum dimuatkan ke dalam lori.

ZEHRA BINTI ZAMBRI