fb fb fb fb fb

Tangguk siput guna peralatan terlarang, 10 nelayan ditahan

Foto Maritim Malaysia

KUALA KEDAH, 3 Julai- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan tiga bot gentian kaca bersama 10 kru nelayan tempatan di kedudukan 3.0 batu nautika muara Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, penahanan dibuat ketika semua kru nelayan terbabit sedang melakukan aktiviti menangguk siput dengan menggunakan peralatan sangkar besi yang tidak dibenarkan.

Menerusi rondaan rutin Op Aman dan Op Tiris 3.0, pihaknya mendapati, ketiga-tiga bot itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Kesemua bot itu turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kesemua bot, enjin berserta hasil tangkapan seberat 210 kilogram dianggarkan bernilai hampir RM300,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

Pihaknya juga sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM