KANGAR, 30 Ogos - Seorang wanita warga Thailand ditahan atas kesalahan menyeludup heroin bernilai hampir setengah juta ringgit ke Malaysia.
Wanita berusia 30 tahun itu memberi alasan untuk menyambut ulang tahun kelahiran rakannya di Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Ismail Hashim, berkata dia ditahan di bilik mesin pengimbas Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar pada Rabu lalu, ketika membawa dua beg bagasi yang mencurigakan.
"Mesin pengimbas bagasi itu mengesan terdapat barang larangan yang berada dalam bagasi milik suspek dan kita mengesyakinya adalah dadah.
"Pemeriksaan rapi terhadap bagasi suspek menemui dua beg tangan dan dua beg galas yang mengandungi paket berwarna coklat yang disembunyikan dalam ruangan khas beg tersebut.
"Kami mendapati semua paket tersebut mengandungi serbuk putih jenis heroin, dengan jumlah keseluruhan seberat 5.252 kilogram dan dianggarkan bernilai RM492,375," katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Perlis di sini, hari ini.
Pihak berkuasa percaya bekalan dadah tersebut diperoleh dari Bangkok, Thailand, untuk dipasarkan ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ketika ditahan suspek dilihat sangat tenang dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan mencurigakan.
"Semakan perjalanan pada pasport suspek didapati dia sudah dua kali keluar masuk ke negara ini," katanya.
Suspek kini direman sehingga 4 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.