fb fb fb fb fb

Polis siasat kes gangguan seksual kakitangan bank di Bercham

120 ahli NUBE mengadakan demonstrasi di hadapan premis bank di Taman Tasek Indera, dekat Bercham/Foto FB NUBE

IPOH, 30 Ogos - Polis telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang kakitangan wanita yang bekerja di sebuah bank di Bercham, Ipoh pada 16 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata mangsa berusia 35 tahun, telah diganggu oleh rakan setugas lelaki semasa berada di premis bank tersebut.

Suspek, berusia 51 tahun, bertugas sebagai Pegawai Operasi Bank.

Kejadian didakwa berlaku sekitar tahun 2021.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang berkaitan kesalahan menggunakan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.

Pada Rabu lalu, sebuah video tular di media sosial menunjukkan demonstrasi melibatkan kira-kira 120 orang, yang dianjurkan oleh National Union Bank Employees (NUBE) Perak di hadapan sebuah bank di Taman Tasek Indera, Bercham.

Demonstrasi diadakan sebagai protes terhadap pengurusan bank yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat dalam kes gangguan seksual.

Sebelum ini, NUBE mendakwa mangsa digantung tugas selepas melaporkan salah laku pegawai atasan kepada pengurusan bank.

GRACE AISYAH KEDAYAN