BAGAN SERAI, 30 Ogos - Polis menahan seorang lelaki manakala tiga lagi masih bebas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan Batu 8, Bagan Serai pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penahanan suspek berusia 20 tahun itu dilakukan ketika rondaan polis menemui sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 2.40 pagi.
"Setibanya di Sungai Bogak, kenderaan itu menuju ke arah Rumah Pam Kerian dan tersekat di situ akibat jalan mati. Semasa polis menghampiri, empat suspek bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran.
"Hasil pemeriksaan mendapati gelung wayar dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, turut ditemui satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu.
"Polis berjaya menahan seorang suspek namun tiga lagi meloloskan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.
Menurut Azizi, polis telah mengenal pasti dua suspek yang masih bebas dan seorang lagi sedang dalam usaha untuk dikenal pasti.
"Geng ini, yang dikenali sebagai Geng Mat Razak, dipercayai aktif menjalankan jenayah curi kabel sejak awal tahun," tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.